Friday, 24 January 2014

KOT ETIKA WARTAWAN MAMPU ELAK PENULISAN MEDIA SIBER TERSASAR #amrayy

‘Generasi Y’ (berumur 15 hingga 35 tahun) adalah kelompok cekap dalam penggunaan teknologi maklumat (IT). Mereka cepat mengikuti perkembangan terkini komunikasi dan teknologi maklumat (ICT). 

Ia satu perkembangan baik untuk pembangunan negara. Namun, masalah timbul apabila golongan itu mudah terpengaruh dengan kandungan yang boleh meracuni pemikiran mereka.

Paling menggusarkan ialah kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun turut dipengaruhi anasir tidak sihat itu. Buktinya, kita pernah dikejutkan dengan laporan Norton Online Family (2010) yang menyebut 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur lapan hingga 15 tahun terdedah kepada unsur tidak sihat media siber.

Mengikut laporan itu secara purata, kanak-kanak dan remaja di Malaysia dalam lingkungan usia lapan hingga 15 tahun melayari internet 19 jam seminggu. Dari segi pemantauan ibu bapa, didapati hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi isi kandungan laman web diakses anak mereka.
Ibu bapa kurang ambil berat 
Hasil kajian itu diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dalam ‘Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber’ di Kuala Lumpur.

Ini menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak memberikan perhatian serius terhadap penggunaan internet oleh anak mereka sehingga tidak menyedari ada anak mereka diracuni dengan bahan negatif yang terkandung di dalamnya.
Tidak dinafikan kemunculan internet mengubah corak atau landskap komunikasi serta menjadikan masyarakat kita lebih bermaklumat. Namun, di sebalik sisi positifnya, banyak pula sisi negatif yang disebarkan melalui internet termasuk bahan pornografi.

Elemen negatif itu boleh merosakkan tingkah laku generasi muda kita.

Penulis percaya antara punca menjadikan semakin ramai generasi muda tidak mengendahkan norma dan hak masyarakat, lekas meradang bila ditegur atau diberi nasihat, mudah agresif terhadap orang lain, berfikiran ganas, ‘anti establishment’, terpengaruh dengan amalan seks bebas dan pelbagai lagi tingkah laku negatif adalah berpunca daripada pengaruh internet.

Ini bermakna penggunaan internet secara tidak betul boleh menyumbang kepada ‘kemerosotan moral’ generasi muda kita.
Selain ibu bapa, mereka yang terbabit menyedia atau menyebarkan bahan negatif turut bertanggungjawab. Mereka mempunyai agenda merosakkan jiwa anak muda kita supaya menjadi golongan yang sentiasa memprotes, mengkritik dan mengeji perkara yang pada penilaian mereka mengekang kebebasan dan nafsu mereka. 


Golongan penentang tegar

Golongan ini juga diajar supaya menjadi penentang tegar apa juga usaha kerajaan walaupun ia baik untuk rakyat dan negara.

Sepatutnya mereka yang terbabit dalam menyedia isi kandungan media siber mengamalkan Kod Etika Kewartawanan supaya dapat menghasilkan maklumat bertanggungjawab, beretika dan profesional demi membentuk pemikiran dan jiwa generasi muda yang sihat dan membina.

Antara etika penting yang disebut dalam Kod Etika Kewartawanan Malaysia ialah wartawan hendaklah menyiarkan berita secara jujur serta membuat ulasan dan kritik yang saksama.
Mereka juga perlu mengelakkan hasutan, fitnah, menyemai kebencian dalam apa bentuk sekali pun serta menjauhi budaya ‘plagiarism’.

Kod etika itu juga menegaskan bahawa wartawan hendaklah mengelak dari menyiar artikel bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat Malaysia termasuk menyiarkan bahan bersifat pornografi.

Mereka juga hendaklah memahami undang-undang yang ada kaitan dengan profesion mereka. Walaupun kod etika itu untuk profesion kewartawanan yang terbabit dalam media cetak dan elektronik, namun ia juga sesuai untuk diguna pakai pengamal media siber atau lebih dikenali “wartawan rakyat”. Ini termasuklah pemilik dan pengendali blog, facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulannya, ibu bapa mempunyai peranan cukup besar dalam mendidik, membimbing dan memantau anak-anak dalam penggunaan internet. Pengawasan dan pemantauan yang sewajarnya harus diamalkan ibu bapa supaya anak mereka tidak dirosakkan oleh isi kandungan internet yang boleh meracuni minda dan jiwa anak-anak.

Demikian juga “wartawan” internet atau pengamal media siber turut mempunyai peranan cukup besar dalam mencorakkan ‘konten’ atau isi kandungan yang mereka kendalikan.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia
AMRAYY

No comments:

Artikel,Video Dan Foto Mungkin Membantu Anda Dalam Pencarian Maklumat..!!!