Showing posts with label Barack Obama. Show all posts
Showing posts with label Barack Obama. Show all posts

Monday 28 April 2014

Barack Obama Akhiri Lawatan Rasmi ke Malaysia


SUBANG: #amrayylensa - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berlepas ke Filipina dengan pesawat Air Force One pukul 10.20 pagi tadi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mewakili negara mengucapkan selamat jalan kepada Obama.

Sepanjang tiga hari berada di Malaysia, Obama mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diraikan dalam satu jamuan negara, pertemuan dengan pemimpin muda ASEAN dan bertemu pemimpin badan bukan kerajaan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengakhiri lawatan tiga hari di Malaysia hari ini.

Ia merupakan lawatan bersejarah dalam tempoh hampir 50 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon Johnson pada 1966.

Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika itu berlepas pada kira-kira 10.20 pagi dari Pangkalan Udara Subang.

Antara pemimpin yang hadir mengucapkan selamat jalan kepada Obama ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Selepas ini Obama berlepas ke Filipina, hentian terakhir dalam siri lawatan beliau ke empat negara Asia.

Terdahulu, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan.

Imam Rayu Henti Penindasan Masyarakat Islam


KUALA LUMPUR 27 April #amrayylensa - Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merayu Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama supaya menghentikan penindasan terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia.

Beliau mengambil peluang untuk menyuarakan hasratnya kepada Obama semasa mengiringi Presiden AS itu dalam lawatan ke Masjid Negara dan Makam Pahlawan di Jalan Perdana di sini hari ini.
Obama dalam jawapannya kepada permintaan itu berkata "doakan saya," kata Ismail kepada pemberita selepas lawatan Obama ke kedua-dua monumen terkenal itu di sini.

Beliau berkata, Obama juga berkata bahawa setiap hari apabila bangun dari tidur, beliau sentiasa berusaha untuk menghentikan penindasan dan konflik membabitkan masyarakat.

Ismail, 70, juga melahirkan keterujaannya tentang pertemuan bersejarah dengan Obama iaitu yang kedua bagi beliau dengan seorang Presiden Amerika Syarikat yang memegang tampuk kuasa.
Pertemuan pertama ialah dengan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, kira-kira 48 tahun lalu apabila beliau baru berusia 22 tahun dan menjadi pelajar tahfiz.

"Saya tidak menyangka bahawa saya akan menemui seorang lagi Presiden Amerika Syarikat dalam hidup saya selepas hampir 50 tahun," kata beliau.

Ismail juga kagum dengan kebolehan Obama untuk memahami bahasa Malaysia apabila beliau kadang-kadang bertutur dalam bahasa itu dengan Presiden Amerika Syarikat.
Di sebalik perbendaharaan kata yang terbatas, Obama kerap kali menjawab "Insya-Allah" dan "Terima Kasih," katanya. "Memang baik baginya walaupun beliau tidak boleh banyak bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi beliau memahami apa saya memberitahu kepada beliau," kata Ismail sambil tersenyum.
Lawatan Obama ke Masjid Negara merupakan aturcara pertama pada hari kedua lawatannya ke Malaysia dan lawatan ke masjid berkenaan menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini yang majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.

Obama, yang tiba semalam untuk lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam, Rashad Hussain.

Selepas lawatan Obama, Ismail mengadakan pertemuan singkat dengan Rashad yang menyentuh tentang perbankan Islam, program pembangunan usahawan Muslim dan hab halal.
Ismail berkata, Rashad melahirkan rasa kagum Amerika Syarikat terhadap sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. - BERNAMA.
AMRAYY

Obama Lawat Masjid Negara, Monumen Terkenal Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 April #amrayylensa - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melawat Masjid Negara, sebuah daripada monumen terkenal di Malaysia, melambangkan pendekatan beliau dalam mendekati dunia Islam.
Acara pertama beliau pada Ahad dengan melawat ke masjid itu menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini, dengan majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.

Presiden Amerika Syarikat ke-44 itu, yang menjawat jawatan pada 2009 dan kemudian dipilih semula bagi penggal kedua pada 2012, disambut Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan jawatankuasa masjid sebaik tiba dengan menaiki limousin presiden di hadapan pintu masuk utama masjid di Jalan Perdana, di sini pada 9.40 pagi.

Obama, yang memakai suit gelap, diiringi Syaikh Ismail ke dewan solat dan berhenti seketika di Makam Pahlawan, yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selaku menteri pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam Rashad Hussain.

Lawatan bersejarah tiga hari beliau ke negara Asia Tenggara ini - sebahagian daripada siri jelajah Obama ke empat negara Asia - adalah yang pertama oleh Presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966.

Pada Jumaat, akhbar harian berbahasa Inggeris The Star memetik Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Abdullah Md Zin sebagai berkata 'bukan lazim' bagi seorang pemimpin kuasa terbesar untuk memasukkan kunjungan ke masjid dalam aturcara lawatan mereka.

"Tiada cara yang lebih baik bagi Obama untuk memuliakan Islam melainkan dengan melawat Masjid Negara. Agak menarik untuk mengetahui apa yang akan diperkatakannya tentang masjid dan Islam," katanya.

Akhbar itu turut memetik Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut sebagai berkata sungguhpun Obama tidak didesak untuk melawat masjid itu, keputusannya untuk berbuat demikian membawa makna yang sangat besar kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

"Ini menunjukkan presiden adalah sensitif dan beliau mahu lebih dekat dengan dunia Islam," kata Nooh.

Lawatan Obama ke masjid bukanlah perkara baharu memandangkan beliau mengunjungi Blue Mosque yang sangat terkenal itu semasa melawat Turki pada 2009.

Dalam lawatannya ke Indonesia pada 2010, presiden turut melawat Masjid Istiqlal di Jakarta, sebuah daripada masjid terbesar di dunia.

Selepas kunjungannya ke Masjid Negara, Obama berlepas ke pusat pentadbiran persekutuan Malaysia di Putrajaya untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.-- BERNAMA
AMRAYY