Sunday, 23 February 2014

#amrayylensa : Dua Anggota Polis Ditahan Berhubung Kehilangan Alat Ganti Kenderaan



GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) -- Dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan alat ganti kenderaan bernilai RM18,000 yang disimpan dalam stor bengkel Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata siasatan sedang dijalankan terhadap dua anggota polis berpangkat rendah berusia antara 30-an dan 40-an itu.

"Kalau didapati ada bukti kukuh, kita akan majukan siasatan pada Ketua Unit Perundangan dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ibu Pejabat Kontijen Pulau Pinang bersama komuniti, di George Town, Sabtu.

Abdul Rahim berkata penyelia bengkel berkenaan hanya menyedari kehilangan lapan jenis komponen alat ganti kenderaan itu ketika masuk ke dalam stor berkenaan pada pukul 8 pagi, Selasa lepas.

Dalam kes lain, Abdul Rahim berkata hasil laporan Jabatan Veterinar telah mengesahkan daging yang dilempar di sebuah masjid di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam dekat sini adalah daging babi.

Katanya susulan kes itu, polis merekodkan keterangan enam individu terdiri daripada penduduk kampung dan anggota jawatankuasa masjid bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Ahad lepas, seorang lelaki yang mahu menunaikan solat Subuh di masjid berkenaan menemui seketul daging yang mencurigakan di hadapan pintu masjid.

Mengesyaki ketulan sebesar dua tapak tangan orang dewasa itu daging babi, Saad Arop, 78, yang juga pembantu imam masjid berkenaan membuat laporan polis.

--BERNAMA

No comments:

Artikel,Video Dan Foto Mungkin Membantu Anda Dalam Pencarian Maklumat..!!!