NEW YORK: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemilihan Umno pada tahun ini perlu dilihat sebagai satu proses yang bersih dan sihat.
Beliau berkata pemilihan kali ini akan didasarkan kepada kewibaan calon untuk menyandang apa jua jawatan dalam Umno, sama ada di peringkat nasional ataupun di peringkat bahagian.
Najib, yang juga perdana menteri berkata Umno telah cuba memperkenalkan perlembagaan baharu yang memberi peluang demokrasi yang lebih terbuka dan lebih luas kepada anggota parti.
Dengan perlembagaan baharu ini, bilangan yang memilih mencecah kira-kira 150,000 orang, kata Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York dari 22 Sept lepas hingga semalam.
"Dengan ini kita cuba untuk melihat keberkesanan sistem pemilihan yang baharu," kata beliau.
Najib berkata setakat ini proses pemilihan Umno berjalan lancar.
"Saya berharap bukan sahaja semua berjalan lancar tetapi (pemilihan kali ini) dilihat sebagai satu proses yang bersih.
"Ini bererti bahawa ahli-ahli Umno perlulah memainkan peranan supaya sistem pemilihan ini benar-benar membawa kepada transformasi yang diharapkan oleh parti kita," katanya.
Diminta mengulas cakap-cakap politik yang tersebar kononnya beliau merestui calon tertentu, Najib berkata walau apapun kenyataan beliau mengenai perkara itu, orang tetap akan mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka masing-masing.
"Maka, saya fikir lebih baik saya katakan bahawa apa yang penting ialah para perwakilanlah yang akan menentukan barisan kepimpinan parti yang terbaik untuk memperkukuh dan memajukan parti.
"Itulah yang saya harapkan akan berlaku pada pemilihan Umno kali ini," katanya.
Umno mula melaksanakan kaedah baharu dalam pemilihan parti Oktober tahun ini selepas membuat pindaan dalam perlembagaannya, yang melibatkan pindaan, penambahan dan pemansuhan beberapa fasal.
Mengikut perangkaan parti, seramai 146,500 perwakilan Umno dari 191 bahagian di seluruh negara akan memilih pada kali ini. --
SUMBER BERNAMA
AMRAYY
No comments:
Post a Comment