Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam pemilihan merebut jawatan Naib Presiden UMNO.
"Walaupun dia baharu (dalam kalangan calon Naib Presiden), dan mengumumkan hasrat bertanding agak lewat, tapi beliau menunjukkan yang dia mempunyai sokongan yang baik dalam parti," kata Presiden UMNO itu.
Bercakap dalam sidang akhbar di Palm Garden Golf Club di sini, Najib berkata, beliau menganggap ia sebagai satu persaingan yang sihat dalam dalam sebuah keluarga parti UMNO.
Keputusan rasmi pemilihan Naib Presiden yang diumumkan awal pagi ini menunjukkan Hishammuddin mendapat saingan sengit daripada Mukhriz apabila masing-masing memperoleh 100 dan 91 undi bahagian.
Semasa ditanya kelebihan Mukhriz dari segi undi popular, Perdana Menteri berkata, sistem yang digunakan UMNO adalah 'electoral college' yang berdasarkan kepada usaha mengimbangi antara bahagian UMNO yang besar kawasannya dengan bahagian yang kecil.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan yang dicapai Mukhriz sebagai 'menang dalam kekalahan' kerana jumlah sokongan yang diperoleh agak besar.
"Jumlah undi yang beliau dapat beza hanya sembilan bahagian sahaja. Jadi bagi saya ini satu kejayaan peribadi.
"Saya juga waktu pertama kali bertanding Naib Presiden saya kalah juga, jadi ini biasa. Jadi, tidak harus orang kata membantutkan semangat beliau," katanya.
Menurut Muhyiddin, Mukhriz ialah pemimpin yang berkaliber dan beliau yakin keputusan semalam boleh menjadi kayu pengukur bahawa masa depan politik Menteri Besar Kedah itu masih cerah.
"Mukhriz seorang pemimpin yang berkaliber dan juga pelapis bersama Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. KJ juga pemimpin pelapis," katanya - Bernama
AMRAYY
No comments:
Post a Comment