PETALING JAYA: Belum pun reda isu jenayah senjata api yang berlaku di negara ini, dua lelaki diberkas dan sepucuk pistol yang disembunyikan oleh mereka dalam sebuah beg berjaya dirampas.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi semalam, polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Sungai Buloh-Subang berhampiran Kota Damansara terserempak dengan dua orang lelaki mencurigakan menaiki sebuah motorsikal.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamad berkata kedua-dua lelaki tersebut kemudian berhenti untuk pemeriksaan namun ketika cuba diperiksa oleh pihak polis, mereka cuba bergelut untuk menghalang dari diperiksa.
“Mujurlah, polis berjaya memberkas mereka dan pemeriksaan selanjutnya dalam beg yang dibawa mendapati terdapat sepucuk pistol 9mm dan tujuh butir peluru di dalamnya,” kata Arjunaidi.
Selain itu, polis turut menemui lapan peket dadah Erimin 5 bersama mereka.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah pengedar dadah berumur 28 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan dadah, samun dan merusuh.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos untuk membantu siasatan dan kita percaya senjata api yang dirampas itu berkemungkinan digunakan dalam kegiatan jenayah di sekitar Petaling Jaya,” katanya lagi.
Kejadian tersebut merupakan satu lagi usaha polis dalam pembanteras jenayah senjata api dimana dalam kejadian berasingan pula di Kepong pada Selasa, seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) maut berbalas tembakan dengan polis.
Kejadian berlaku apabila suspek dengan tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan kearah polis yang ingin membuat pemeriksaan terhadapnya dalam sebuah sekatan jalan raya di hadapan Kompleks Desa Kepong.
Akibat dari itu, polis membalas tembakan dan mengenai bahu, perut dan kaki suspek.
AMRAYY
No comments:
Post a Comment