Showing posts with label kes bunuh. Show all posts
Showing posts with label kes bunuh. Show all posts

Sunday 4 August 2013

Pengawal keselamatan mati ditembak di Kajang




KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak seorang lelaki di Lorong C 3/24 di Cheras Perdana, Kajang di sini, menjadikannya kejadian tembakan kelima yang berlaku minggu ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 1.30 petang tadi, Balamurali Balakrishnan, 36, yang berada di ruang tamu rumahnya maut selepas suspek melepaskan empat das tembakan yang mengenai dada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata mangsa mati di tempat kejadian manakala ibunya yang berada di bilik tidur rumah itu tidak diapa-apakan.

"Suspek yang datang ke rumah mangsa menggunakan kereta Iswara berwarna hitam dipercayai masuk melalui pintu yang tidak berkunci sebelum melepaskan empat das tembakan yang menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rashid berkata mangsa merupakan bekas banduan serta dibebaskan dari penjara pada Jun dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stesen LRT dekat sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa pernah terbabit dengan lima kes dadah dan polis akan menyiasat sama ada kejadian itu berunsurkan dendam atau sebaliknya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Sementara itu, isteri mangsa, S.Punavaneswari, 28, berkata ketika kejadian, beliau tiada di rumah kerana balik ke kampungnya di Seremban bersama anak lelaki mereka.

"Kali terakhir saya bercakap dengan dia ialah semalam, tetapi dia tidak menunjukkan reaksi yang pelik kerana selama ini pun dia memang jarang bercerita mengenai hal peribadinya kepada saya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Kejadian itu merupakan yang kelima minggu ini. Semalam, seorang peniaga emas nyaris maut apabila tembakan orang yang cuba membunuhnya tersasar dan terkena bahu kanan mangsa, yang ketika itu memberhentikan kenderaan di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah di sini.

Pada 29 Julai, Pengasas Arab Malaysia Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, 49, cedera parah apabila ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.
AMRAYY