Showing posts with label #wartawan. Show all posts
Showing posts with label #wartawan. Show all posts

Thursday 23 January 2014

WARTAWAN PERLU BERILMU.!!!

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Wartawan perlu melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi menghadapi tuntutan cabaran media di masa hadapan, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Beliau berkata antara ilmu yang perlu ada pada seseorang wartawan ialah pengetahuan mengenai sistem negara ini, memahami perlembagaan dan mempunyai ilmu dalam undang-undang negara.
Katanya, dengan pengetahuan perkara-perkara kenegaraan itu, seseorang wartawan mampu untuk menangkis dakyah atau tohmahan terhadap kerajaan yang sering dilemparkan menerusi media alternatif.

"Bila adanya ledakan teknologi maklumat, dunia menjadi sangat kecil, sangat dekat dan semua orang boleh berkomunikasi antara satu sama lain...alam maya terbuka. Dulu lain...tidak ada Fb (Facebook) dan twitter," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Parlimen Malaysia- Supremasi & Penghambaan dalam Demokrasi' kepada 25 peserta program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Abu Zahar juga berkata, dunia kewartawanan mampu memainkan peranan yang besar dalam membentuk pembangunan dan perpaduan masyarakat di negara ini.

"Yang penting sekali adalah perpaduan. Tanpa perpaduan, perkara kecil sahaja berlaku, kita boleh bergaduh sesama kita. Inilah...'why' (kenapa) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memperkenal gagasan 1Malaysia, iaitu untuk perpaduan," katanya.

Katanya, wartawan perlu menyemai semangat patriotisme supaya dapat membentuk sifat kesetiaan yang tinggi kepada bangsa dan negara.

"Wartawan perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang betul untuk pelaporan berita dan tidak hanya bergantung kepada khabar angin semata-mata sehingga mudah membuat kesimpulan sendiri," katanya.

Abu Zahar berkata rakyat harus mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang mengakibatkan keadaan huru-hara dan kehilangan nyawa sehingga negara diisytihar darurat.

"Ketika kejadian 13 Mei ini saya bertugas sebagai 'police officer'. Jadi dengan pengalaman saya ini, saya ingin mengingatkan supaya rakyat negara ini perlu menghormati satu sama lain dan jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum," katanya.

-- BERNAMA