Showing posts with label #jenanyah. Show all posts
Showing posts with label #jenanyah. Show all posts

Tuesday 4 March 2014

#amrayylensa : Azizul Tenang Jawab Soalan Pendakwa

STOCKHOLM : Hari ketujuh perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa di Mahkamah Daerah Solna atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga tahun 2013 semalam menyaksikan giliran Azizul dipanggil memberikan keterangan.

Azizul yang memakai baju kemeja berwarna hijau lengkap bertali leher dan berkot hitam dipanggil bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa sebaik sahaja Mahkamah bermula pada jam 9 pagi.

Perbicaraan yang dijalankan dalam Bahasa Sweden dengan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa itu dimulakan dengan Azizul diminta untuk menceritakan mengenai latar belakangnya bermula dengan diri, keluarga, isteri dan anak-anaknya.

Beliau yang ditahan reman sejak 18 Disember tahun lalu sempat berkongsi saat manis menceritakan bagaimana isterinya, Shalwati menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap pagi dengan menaiki pengangkutan awam.

Saat ditanya adakah dia pernah melakukan kekerasan terhadap empat orang anaknya, Azizul menafikan perkara tersebut. Azizul yang mengaku mengamalkan cara didikan tegas bagaimanapun berkata dia telah mengurangkan ketegasan tersebut sewaktu berpindah ke Sweden kerana dikejutkan dengan situasi sedih yang berlaku sewaktu mendaftarkan persekolahan anak ketiganya, Adam.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Azizul kedengaran tersekat-sekat sambil ada ketikanya menundukkan muka sementara Shalwati yang memakai baju dan tudung berwarna merah dilihat mula mengesat air mata.

Seluruh mahkamah juga merasa hiba apabila Azizul menerangkan dia terkesan dengan situasi yang mana Adam tidak dibenarkan untuk didaftarkan di sekolah biasa sebaliknya diminta ke sekolah khas (slow learner) akibat daripada disleksia yang dialaminya.

Azizul yang menggelar Adam sebagai ‘streetsmart’ mengatakan akibat insiden itu, dia mengurangkan ketegasan bagi mengelakkan tekanan terhadap anak-anaknya terutamanya Adam.

Saat ditanya mengenai insiden-insiden pukulan yang didakwa dilakukan oleh beliau, Azizul menafikan ada memukul anak-anaknya di muka, belakang badan dan tangan sebaliknya menyatakan dia hanya memberikan pukulan ringan sebagai pengajaran kepada anak-anaknya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dan bukannya berniat mencederakan atau mendatangkan kesakitan.

Azizul yang ditanya berkaitan empat insiden di mana dia dikatakan memukul anak-anaknya menerangkan insiden pertama berlaku ketika di meja makan sewaktu menikmati makan malam yang mana Azizul berkata ianya adalah mustahil untuk beliau memukul Ammar ketika itu kerana tempat duduk anak keduanya itu berhadapan dengannya dan kedudukan itu tidak memungkinkan Ammar dipukul.

Insiden kedua pula dikatakan berlaku apabila Azizul menggunakan rotan sewaktu mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran. Azizul menegaskan ianya tidak berlaku kerana kayu nipis yang dikatakan sebagai alat memukul itu hanya digunakan sebagai penunjuk dan jika digunakan untuk memukul sekalipun, ia tidak mendatangkan kesakitan atau kesan.

Selain itu, terdapat juga insiden yang berlaku di dalam kereta di mana Azizul dikatakan memukul Ammar yang bertengkar dengan Aisyah sewaktu dalam perjalanan ke sekolah. Azizul menafikan kejadian tersebut dengan menceritakan dia hanya menyentuh bahu Ammar dan memintanya berhenti berbalah dengan kakaknya.

Sewaktu kejadian itu, Azizul yang sedang memandu terdengar anak-anaknya bertengkar apabila Ammar yang duduk di bahagian depan menggerakkan kerusinya jauh ke belakang mengakibatkan Aisyah yang duduk di tempat duduk belakang tersepit. Aisyah yang beberapa kali meminta Ammar membetulkan kerusinya tidak dihiraukan menyebabkan Azizul menghalang dan meminta Ammar untuk membetulkan kerusinya.

Pegawai Pendakwa yang sentiasa cuba membuktikan Azizul ada memukul anaknya ketika ini bertanya mengenai kejadian Ammar dipukul semasa hari halloween. Azizul yang kelihatan tenang bagaimanapun menjawab mereka tidak menyambutnya kerana ia tidak dibenarkan di dalam Islam. Oleh itu, dia tidak tahu bilakah hari tersebut selain menyatakan kejadian ini tidak pernah berlaku.

Ketika ditanya bagaimana dia menzahirkan perasaan marah, Azizul menjelaskan kebiasaannya dia akan meninggikan suara selain membuat bunyi sama ada mengetuk meja atau tangga. Ada ketikanya dia turut memutuskan talian internet dan membuat kiraan sebagai amaran kepada anak-anaknya.

Perbicaraan bersambung 5 Februari 2014.
AMRAYY

Saturday 25 January 2014

Gadis Dirogol oleh Lelaki Berkumpulan DI Parit Buntar




OLEH: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tarikh: January 25, 2014

PARIT BUNTAR - Seorang gadis berusia 13 tahun menempuh detik hitam apabila diculik dan dirogol empat lelaki di sebuah rumah kosong di Jalan Abdul Raof, di sini, ketika pergi ke kedai runcit pada 15 Januari lalu.

Ketika kejadian, remaja berkenaan dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit yang terletak beberapa meter dari rumahnya.
Kumpulan lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa ditemui rakannya tidak memakai selipar dan pakaiannya berlumpur sebelum dibawa balik ke rumah kakaknya.

“Mangsa pengsan sebaik sahaja tiba di rumah dan keluarganya membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar.
“Selepas sedar, remaja itu menceritakan telah dikejar empat lelaki ketika menuju ke sebuah kedai runcit pada kira-kira jam 7.50 malam, hari kejadian.

“Mangsa mendakwa diculik dan dibawa ke sebuah rumah kosong berhampiran premis cuci kereta dan dirogol kumpulan lelaki terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini.

Mat Fauzi berkata, polis menerima laporan daripada kakak mangsa kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian menemui sekeping papan mempunyai kesan darah dan ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan.

“Hasil tinjauan polis di lokasi kejadian mendapati kawasan di situ agak semak, sunyi dan gelap. Rumah terdekat terletak pada jarak 20 meter,” katanya.

Mat Fauzi berkata, seorang suspek dikenal pasti dan ditahan membantu siasatan kes itu.
“Suspek berumur 22 tahun ditahan dan merupakan penduduk tempatan,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat.
AMRAYY

Thursday 26 December 2013

TERKINI.!!! 3 PEROGOL BERSIRI DIKEHENDAKI POLIS




Berikut ialah tiga orang perogol yang masih belum dapat dikesan oleh pihak polis sehingga sekarang. Sesiapa yang mengenali atau mempunyai pengetahuan mengenai mereka ini jangan ambil sebarang tindakan konfrontasi atau bertanya. Hubungi Pusat Kawalan Malaysia at 03-22663333 atau balai polis berhampiran.



AMRAYY




Wednesday 31 July 2013

PENGUATKUASAAN PEMILIKAN SENJATA API PENYEBAB PENGGUNA SENJATA HARAM MENINGKAT.





BANDAR SUNWAY: Penguatkuasaan bersepadu terhadap pemilikan senjata api di negara ini termasuk rampasan-rampasan senjata api yang begitu berleluasa dilihat punca kepada peningkatan penggunaan senjata api haram yang membawa kepada kejadian tembak mati pada akhir ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa ketirisan keluar masuk di sempadan membolehkan senjata-senjata api ini diseludup masuk secara haram ke negara ini.

"105km panjangnya sempadan Sungai Golok dan ribuan kilometer panjangnya sempadan lautan negara ini dilihat membuka peluang kepada penyeludup untuk membawa masuk senjata api secara haram," kata Khalid.

"Rangkaian sindiket jenayah juga memudahkan mereka memperoleh senjata-senjata api secara haram ini.

"Satu pasukan siasatan khas juga telah ditubuhkan oleh PDRM diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Hadi Ho Abdullah untuk menyiasat dan mengumpul maklumat mengenai situasi ini.

"Sehingga kini telah banyak kejayaan dirakamkan oleh pasukan siasatan khas ini dalam membanteras kejadian tembak-menembak dan penyeludupan senjata api. "

"Masyarakat juga diharapkan dapat bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian dan tidak mudah menuding jari dalam mencari kesilapan pihak berkuasa yang kononnya dilihat gagal menangani masalah jenayah melibatkan senjata api ini.

"Kita sama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," katanya lagi.

Sementara itu, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd Zaman Khan ketika dihubungi Astro Awani berkata, penyiasatan lebih mendalam amatlah diperlukan dalam mengesan penjenayah yang terlibat dalam beberapa kejadian tembak mati kebelakangan ini.

"Memang tidak dinafikan, kejadian yang berlaku ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat kerana kejadian ini juga merupakan sebuah 'trend' atau fenomena yang baru," kata Mohd Zaman.

Beliau menambah, kejadian yang berlaku ini juga menimbulkan kerisauan kepada mereka yang mempunyai perniagaan yang besar.

"Mungkin adanya saingan ataupun salah faham yang berlaku ketika urusniaga perniagaan maka dengan sebab inilah khidmat pembunuh upahan sering digunakan," katanya lagi.

Namun, saya percaya polis mampu menyelesaikan kes ini dengan segera dan sesiapa juga yang terlibat akan diberkas.

                                                                                                   AMRAYY