Showing posts with label #HasanMalik. Show all posts
Showing posts with label #HasanMalik. Show all posts

Tuesday 1 April 2014

Kes Penipuan Perdagangan Elektronik Semakin Meningkat


SEREMBAN, 31 Mac #amrayylensa -- Kes penipuan perdagangan elektronik (e-dagang) di negara ini semakin meningkat terutamanya yang membabitkan pembelian telefon bimbit, pakaian, tiket kapal terbang, pakej umrah, pakej percutian dan aksesori pakaian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata sebanyak 212 kes dilaporkan pada 2012 dan ia meningkat kepada 706 kes tahun lepas.

"Malah, aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia(TTPM) juga dilaporkan meningkat. Pada 2012, sebanyak 32 kes difailkan di TTPM membabitkan kerugian berjumlah RM34,067 dan ia meningkat kepada 53 kes membabitkan kerugian RM70,223 tahun lepas," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Fasilitasi Industri Perkhidmatan (FILIM) 2014 di Seremban, Isnin.

Sehubungan itu, Hasan berkata kementerian giat melaksanakan kempen kesedaran dalam kalangan pembeli dan peniaga selain memperkasakan Akta E-Dagang 2006 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Beliau berkata pelbagai medium digunakan oleh penjenayah e-dagang untuk menipu masyarakat orang ramai melalui talian.

Menurutnya, kementerian sentiasa merangka cara dan mekanisme yang sesuai dalam memastikan pengguna dan pembeli di Internet tidak mudah ditipu.

"Kementerian sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif selain memodenkan peraturan perniagaan, agar penguna tidak mudah tertipu," katanya.

Program FILIM 2014 itu disertai 400 orang terdiri daripada ahli perniagaan dan pengguna.
Program tahun kedua itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai hak sebagai pengguna yang bijak dan tahap profesionalisme pengusaha perdagangan, terutamanya di bidang elektronik perdagangan.
BERNAMA