Wednesday, 23 July 2014

KEPUTUSAN RASMI MENGENAI JAWATAN MB SELANGOR DIUMUM SELEPAS RAYA


KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi sama ada akan berlaku petukaran Menteri Besar Selangor atau sebaliknya, akan diumumkan selewat-selewatnya selepas Aidilfitri.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PAS dan DAP sudah menerima cadangan PKR membuat pertukaran jawatan itu dengan mencalonkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"PAS dan DAP akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan selepas hari raya.

"PAS dan DAP secara dasarnya menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor adalah daripada PKR," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, beliau tidak akan menyandang apa-apa jawatan dalan kerajaan negeri Selangor jika Wan Azizah dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

"Saya sekarang Ketua Pembangkang di sini (Dewan Rakyat)... saya tidak fikir untuk memainkan peranan jika Wan Azizah jadi Menteri Besar sekali pun sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor," katanya.

No comments: