Monday 28 April 2014

Obama Lawat Masjid Negara, Monumen Terkenal Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 April #amrayylensa - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melawat Masjid Negara, sebuah daripada monumen terkenal di Malaysia, melambangkan pendekatan beliau dalam mendekati dunia Islam.
Acara pertama beliau pada Ahad dengan melawat ke masjid itu menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini, dengan majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.

Presiden Amerika Syarikat ke-44 itu, yang menjawat jawatan pada 2009 dan kemudian dipilih semula bagi penggal kedua pada 2012, disambut Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan jawatankuasa masjid sebaik tiba dengan menaiki limousin presiden di hadapan pintu masuk utama masjid di Jalan Perdana, di sini pada 9.40 pagi.

Obama, yang memakai suit gelap, diiringi Syaikh Ismail ke dewan solat dan berhenti seketika di Makam Pahlawan, yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selaku menteri pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam Rashad Hussain.

Lawatan bersejarah tiga hari beliau ke negara Asia Tenggara ini - sebahagian daripada siri jelajah Obama ke empat negara Asia - adalah yang pertama oleh Presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966.

Pada Jumaat, akhbar harian berbahasa Inggeris The Star memetik Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Abdullah Md Zin sebagai berkata 'bukan lazim' bagi seorang pemimpin kuasa terbesar untuk memasukkan kunjungan ke masjid dalam aturcara lawatan mereka.

"Tiada cara yang lebih baik bagi Obama untuk memuliakan Islam melainkan dengan melawat Masjid Negara. Agak menarik untuk mengetahui apa yang akan diperkatakannya tentang masjid dan Islam," katanya.

Akhbar itu turut memetik Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut sebagai berkata sungguhpun Obama tidak didesak untuk melawat masjid itu, keputusannya untuk berbuat demikian membawa makna yang sangat besar kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

"Ini menunjukkan presiden adalah sensitif dan beliau mahu lebih dekat dengan dunia Islam," kata Nooh.

Lawatan Obama ke masjid bukanlah perkara baharu memandangkan beliau mengunjungi Blue Mosque yang sangat terkenal itu semasa melawat Turki pada 2009.

Dalam lawatannya ke Indonesia pada 2010, presiden turut melawat Masjid Istiqlal di Jakarta, sebuah daripada masjid terbesar di dunia.

Selepas kunjungannya ke Masjid Negara, Obama berlepas ke pusat pentadbiran persekutuan Malaysia di Putrajaya untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.-- BERNAMA
AMRAYY

No comments:

Artikel,Video Dan Foto Mungkin Membantu Anda Dalam Pencarian Maklumat..!!!