Sunday 9 February 2014

BALAI POLIS DI BALIK BAHAN LETUPAN.


Balai polis bergegar

Bukit Mertajam: Balai Polis Bukit Tengah, di sini, bergegar selepas dibaling bahan letupan dipercayai mercun oleh individu tidak dikenali, jam 4.50 pagi semalam.

Serangan itu turut menyebabkan cermin tingkap bangunan dan pos pengawal pecah, manakala siling balai polis rosak akibat kesan gelombang letupan kuat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, siasatan awal serta penelitian pakar bom percaya suspek menggunakan mercun bola yang dibungkus dalam jumlah banyak sebelum dibaling ke perkarangan balai polis.

“Ketika kejadian, anggota bertugas di pos pengawal menjalankan rondaan di kawasan balai. Dia kemudian terdengar bunyi enjin motosikal, disusuli letupan kuat dari arah depan pintu masuk ke balai polis.




ACP Mohd Nasir Salleh (dua dari kanan) melihat tempat kejadian.

“Anggota berkenaan kemudian berlari ke pintu masuk untuk melihat apa berlaku tetapi gagal mengesan suspek yang melarikan diri sebelum melihat cermin dan serpihan siling pecah bertaburan di lantai akibat letupan itu,” katanya.

Nasir berkata, ketika kejadian, beberapa anggota bertugas berada di dalam premis terbabit dan menjalankan urusan rutin, namun tidak cedera dan hanya dikejutkan dengan bunyi letupan.

Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan suspek, disyaki menunggang motosikal itu, membaling bahan letupan dari jalan utama berikutan ketika kejadian pagar pintu masuk utama ke balai polis dikunci.

“Kami akan menjalankan siasatan secara terperinci untuk mengetahui motif kejadian, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran untuk mengenal pasti identiti individu bertanggungjawab.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin, sekali gus menahan suspek,” katanya.

Menurutnya, walaupun hanya menggunakan mercun, letupan itu mengakibatkan kerosakan dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jarak letupan sehingga 10 meter.

Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Bahan Letupan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian 019-3864212.

Sumber: Harian Metro
AMRAYY

No comments:

Artikel,Video Dan Foto Mungkin Membantu Anda Dalam Pencarian Maklumat..!!!