Sunday 10 March 2013

ADAKAH PENGAKUAN BAPA SAIFUL MAMPU TARIK UNDI MELAYU?





Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli percaya pengakuan bapa Mohd Saiful Bukhari kelmarin berhubung kes liwat melibatkan Saiful-Anwar Ibrahim akan membantu Pakatan Rakyat khususnya parti itu menarik kembali undi dari kalangan orang Melayu.

Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang berlaku secara kebetulan, Rafizi mengakui kes itu, yang muncul tiga bulan selepas pilihanraya umum ke-12, ada menghakis arah aliran sokongan pengundi Melayu.

"Saya memang terkejut. Saya yakin ia akan membantu Pakatan dan KEADILAN khususnya dalam menarik pengundi orang Melayu," kata beliau.

Rafizi mengulangi pendirian menyangkal KEADILAN mengatur strategi pendedahan yang dibuat oleh Azlan Mohd Lazim kelmarin iaitu genap lima tahun selepas pilihanraya umum ke-12 pada 2008 lalu.

"Tidak, tidak. Bukan kami merancang. Ia bukan strategi yang dirancang oleh kami, KEADILAN.

"Dari segi tarikh 8 Mac, selepas kes Deepak dan Bala, ia berlaku secara kebetulan. Tarikh 8 Mac juga secara kebetulan... saya lihat ia sesuatu yang berlaku kebetulan.

"Jika pendedahan ini satu strategi kami, sudah pasti saya tahu, saya akan dimaklumkan. Tetapi tidak dibangkitkan dalam perbincangan," kata beliau sambil menambah, "kemungkinan kemunculan bapa Saiful juga sebahagian daripada mereka yang mula melihat potensi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13."

"Sebab itu saya lihat ramai yang mula mendampingi kami, bertemu dengan kami, mengatakan sokongan termasuk bapa Saiful ini," katanya lagi.

Katanya, berbanding isu Sabah, pendedahan bapa Saiful akan memanfaatkan Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya umum ke-13.

"Isu Sabah, terlalu awal untuk buat kesimpulan," katanya yang membuat perbandingan antara perkembangan insiden pencerobohan ke atas Sabah dan pendedahan bapa Saiful.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Ketua Umum KEADILAN, mengucapkan terima kasih kepada Azlan atas pendedahan yang dibuatnya semalam bahawa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mendalangi kes liwat kedua melibatkannya.

Anwar berkata, pendedahan yang dibuat Azlan itu menguatkan lagi bukti konspirasi fitnah jahat yang dilakukan untuk memenjarakannya.

“Walaupun pendedahannya itu tidak memberi apa-apa perubahan, tapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sanggup buat begitu.

“Dari awal lagi saya tidak bersalah dan mahkamah juga telah putuskan… jadi kenyataan ayahnya (Azlan) itu telah membongkar satu lagi sudut yang kita terangkan sebelum ini walaupun ia tidak dibawa ke mahkamah seterusnya iaitu penglibatan pegawai khas perdana menteri,” katanya.

Mengulas perkara sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat yang dihadapi Anwar akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Pendustaan satu masa dulu akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar).

“Alhamdulillah, semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini, dia akan bebas dari sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya,” kata Menteri Besar Kelantan itu.

(ESHAN DARI BLOG JALAN PULANG)


Amrayy


No comments: